Khamis, 10 Disember 2009

persidangan copanhagen



HAMPIR empat dekad Hari Alam Sekitar Sedunia (HASS) disambut seluruh masyarakat antarabangsa. Jika dilihat dalam konteks HASS, tahun 2009 merupakan tahun ketiga di mana isu perubahan iklim global menjadi fokus utama United Nation Environment Programme (UNEP).

Walaupun HASS diraikan beberapa bulan lalu, namun rentetan kesedaran masyarakat dunia terhadap krisis alam sekitar yang kian meruncing bakal mengetengahkan isu ini ke Persidangan Perubahan Iklim Global (Global Climate Change Conference), di Copenhagen, Denmark, bulan ini.
Isu pemanasan global bukanlah baru dan ia menjadi tema pilihan HASS sejak 1989 dan 1991 lagi. Namun kesannya yang semakin membimbangkan menyebabkan ia diangkat sebanyak tiga kali berturut-turut sebagai tema utama HASS sejak 2007.

HASS merupakan antara mekanisme terpenting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelestarian alam sekitar.
Lebih dua abad lalu, revolusi industri menyebabkan pencemaran alam yang amat membimbangkan. Aktiviti manusia menyumbang kepada peningkatan purata suhu bumi merangkumi darat dan laut (antara 0.4 hingga 0.8 darjah Celsius) dalam tempoh seabad.
Peningkatan ini disebabkan oleh pelepasan gas-gas yang dikenali sebagai "gas rumah hijau", terutamanya karbon dioksida di ruang atmosfera. Isipadu karbon dioksida meningkat dari 280 ppm pada 1800 kepada 315 ppm (1958) dan 367 ppm (2000), peningkatan 31 peratus dalam tempoh 200 tahun.
Tambahan pula dengan trend penggunaan bahan api fosil serta aktiviti pembangunan yang memusnahkan hutan, isi padu karbon dioksida dijangka terus meningkat di antara 540-970 ppm menjelang tahun 2100.
Kekerapan bencana alam yang berlaku akhir-akhir ini menyebabkan masyarakat antarabangsa semakin prihatin terhadap fenomena perubahan iklim. Perkembangan terhadap kenaikan suhu bumi telah mendorong United Nation Development Programme (UNDP) mengisytiharkan 'perang' terhadap perubahan cuaca melalui Human Development Report (HDR) 2007/2008.

Menyingkap tiga tahun kebelakangan ini, tema HASS 2007 telah tertumpu terhadap usaha menyedarkan masyarakat betapa pencairan ais di kutub telah meningkatkan isipadu air laut yang memberi kesan terhadap fenomena hakisan pantai sekali gus menyebabkan pengecilan saiz sesebuah negara.
Di Malaysia misalnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, saiz negara semakin mengecil sehingga jarak 40 meter akibat hakisan pantai di 33 lokasi.
Begitu juga dengan HASS 2008, ia mendedahkan kebiasaan atau tabiat manusia yang melakukan aktiviti tidak mesra alam sehingga menyebabkan kemudaratan seperti pencemaran alam dan perubahan iklim bumi sekali gus membawa kepada malapetaka.

Bencana alam seperti ribut dan banjir besar yang melanda beberapa negara seperti Taufan Katrina di Amerika Syarikat pada 2005 serta fenomena banjir luar biasa di Sumatera (2006) yang telah mengorbankan 100 nyawa, menginsafkan kita betapa tingginya harga yang terpaksa dibayar akibat daripada fenomena perubahan iklim ini.
Pada tahun ini, masih berkisar pada isu yang sama. HASS 2009 menekankan pentingnya asas nilai dalam melindungi bumi. Justeru nilai utama yang diketengahkan pada sambutan yang lalu ialah sikap bekerjasama dengan tema "Dunia Memerlukan Anda Bersatu Mencegah Perubahan Iklim".
Penulis berpendapat, istilah cegah dalam konteks perubahan iklim ialah komitmen dunia dalam menyeimbangkan semula suhu bumi melalui amalan lestari merangkumi gaya hidup individu serta budaya korporat berasaskan nilai murni dan mesra alam.

Keprihatinan terhadap permasalahan pemanasan global yang kian meruncing juga telah mendorong dunia melaksanakan inisiatif Protokol Kyoto sejak beberapa tahun lalu. Di bawah protokol ini, negara-negara membangun bersetuju untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sekurang-kurangnya lima peratus di bawah paras kepekatan gas-gas rumah kaca pada tahun 1990.

Sementara negara sedang membangun digalakkan untuk mengadaptasi teknologi yang mesra alam tanpa perlu terikat kepada komitmen mengurangkan pelepasan gas-gas rumah kaca.
Secara dasarnya, inisiatif ini bakal memberi impak yang signifikan kerana skopnya yang komprehensif mencakupi insentif kewangan dan inisiatif mesra alam.

Namun usaha mencegah perubahan iklim bukanlah semudah yang dicanangkan. Ia menuntut kejujuran serta kerjasama yang baik dari seluruh warga dunia. Misalnya, walaupun Barack Obama telah menunjukkan komitmen Amerika Syarikat dalam memacu teknologi hijau dengan peruntukan besar dalam pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah RM80.8 bilion untuk pembangunan teknologi tenaga boleh diperbaharui dan RM186.7 bilion untuk meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di Amerika, tetapi sehingga ke hari ini pun beliau masih berdolak-dalih dalam mengesahkan perjanjian Protokol Kyoto.
Malah program perkongsian teknologi di antara negara Utara-Selatan melalui inisiatif mesra alam juga kelihatan masih kabur. Tidak dinafikan terdapat juga aktiviti perdagangan karbon dan mekanisme pembangunan bersih telah dijalankan di beberapa buah negara seperti Malaysia dan Filipina, tetapi usaha ini tidaklah mendapat sambutan yang bersifat menyeluruh dari masyarakat antarabangsa.
Maka tidak hairanlah inisiatif ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai gagal mencapai objektifnya untuk mengurangkan sebanyak tujuh peratus pelepasan gas-gas rumah kaca di antara tahun 2008 dan 2012.
Ironinya negara sedang membangun seperti India dan China pula yang dipersalahkan kononnya gara-gara aktiviti perindustrian mereka yang semakin pesat.

Seharusnya, semua pihak perlu adil dalam memastikan agenda mencegah perubahan iklim ini berjaya. Adil dalam konteks mengutamakan tuntutan global melebihi kepentingan lokal.
Dalam isu Protokol Kyoto, ternyata dunia amat kesal dengan sikap negara-negara maju yang acuh tidak acuh dalam menjayakan inisiatif ini demi melindungi kepentingan ekonomi mereka. Malah mereka mendesak negara membangun untuk bertanggungjawab terhadap fenomena pemanasan global yang sedang melanda dunia pada hari ini.
Kini pemimpin dunia perlulah merealisasikan tema HASS 2009 melalui inisiatif Persidangan Perubahan Iklim Global yang bakal diadakan di Copenhagen, Denmark.
Hal ini amatlah penting dalam mendepani pasca Protokol Kyoto agar kesan perubahan iklim dapat ditangani secara lestari.

Sesungguhnya sambutan HASS 2009 merupakan manifestasi betapa pentingnya dokongan nilai dan moral dalam menjayakan sesebuah agenda.
Betapa dunia kini amat memerlukan pemimpin yang tidak retorik dan bebas nilai dalam menangani krisis alam yang semakin meruncing ini.
Justeru jika sesebuah agenda itu tidak didokongi asas nilai yang kukuh, ia akan mengheret dunia ke kancah polemik krisis alam sekitar yang tidak berkesudahan.
Protokol Kyoto kini sudah di penghujung hayatnya dan inisiatif Copenhagen pada Disember ini diharapkan tidak sekadar omongan kosong semata-mata.

Sesungguhnya dalam merealisasikan gagasan besar seperti yang akan berlangsung di Copenhagen, ia memerlukan dokongan elemen falsafah, budaya dan agama agar ia dapat disintesiskan menjadi nilai utama. Sekali gus menjadi teras amalan dalam menjayakan agenda melestarikan bumi.

sumber,utusan Malaysia.,saudara
muhammad Izzudin syakir ishak.

Tiada ulasan: